Tuesday 29 October 2019

Tinggalan sejarah di Bukit Kutu Hulu Selangor

Era pemerintahan Inggeris di Tanah Melayu membawa kepada pembukaan pusat peranginan atau pertanian di kawasan tanah tinggi. Penerokaan dan pembukaan tanah tinggi dikaitkan dengan hasrat pegawai Inggeris yang ingin menikmati susana cuaca sejuk seperti di tempat asal mereka.

Salah satu lokasi tersebut ialah Bukit Kutu atau dahulunya dikenali Treacher's Hill. Bukit Kutu yang berketinggian 1053 dari aras laut terletak di daerah Hulu Selangor iaitu di Kuala Kubu Baru berhampiran Kampung Pertak, Selangor

Nama Treacher’s Hill adalah sempena Sir William Hood Treacher yang menemui tempat ini pada tahun 1893 dan menurut sejarah, Sir WH Treacher, telah berkhidmat sebagai Residen British di Selangor dari 1892 hingga 1896.

Di puncak Bukit Kutu terdapat dataran yang menjadi 'kompleks' penempatan dan pentadbiran. Ketika zaman kolonial British, puncak Bukit Kutu adalah stesen pemantauan tentera British. Namun ia terbengkalai setelah dibom oleh tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua.

Keseluruhan binaannya telah rosak dan runtuh serta ditumbuhi semak-samun dan pohon rimba. Kini, yang masih kekal hanyalah bahagian tiang, lantai, rangka bangunan dan tangga serta cerobong asap dan dua buah perigi lama yang salah satunya masih boleh digunakan dan masih terdapat sumber air di dalamnya.

Bukit Kutu kini menjadi lokasi pendakian yang semakin terkenal. Selain mencabar kekuatan fizikal dan minda, pendaki juga dapat melihat tinggalan sejarah itu.

Bukit Kutu wajar diperkenalkan sebagai pendakian bukit bersejarah.

No comments:

Post a Comment