Friday 25 June 2021

POKOK HIASAN PISANG TUTUP AURAT

Beberapa tahun lalu tular di media elektronik, cetak dan maya tentang ‘pisang tutup aurat’ yang ditanam di kawasan Masjid Keputeraan Paloh 2, Gua Musang.

Ia dianggap pelik dan disensasikan sebagai “pisang pun tahu tutup aurat apabila berada di kawasan masjid”.

Pokok jenis tersebut kemudiannya dikenali di Malaysia sebagai pisang tutup aurat.

Nama pokok tersebut ialah ‘ensete glaucum’ atau dikenali juga sebagai ‘pisang salji’. Pokok pisang salji banyak tumbuh di Nepal, Myanmar dan Thailand.

Benih yang ditanam di Masjid Keputeraan Paloh 2 itu dikatakan dibawa seseorang dari Thailand.

Ia dikatakan pelik kerana bahagian buah disalut dengan ‘daun atau pelepah jantung” berlapis-lapis dari atas ke bawah. Ini menyebabkan jika hendak melihat buahnya perlu menyelak bahagian yang berlapis itu.

Buah pisang tutup aurat boleh dimakan, tetapi mempunyai biji yang banyak. Jadi, ia ditanam bukan untuk buahnya, tetapi sebagai pokok hiasan. Tandang buah yang keluar dilihat seakan-akan belalai gagah.

Namun, di kalangan orang Asli di kawasan tertentu menjadikan buah pisang tutup aurat ini sebagai sumber perubatan. Sebab itu ia juga dikenali sebagai pokok herba.

Ia juga ditanam di sesetengah tempat di China sebagai sumber makanan untuk babi.

Ada anak benih pokok pisang tutup aurat dijual secara dalam talian. Boleh buat carian ‘pisang tutup aurat atau ‘ensete glaucum’.

No comments:

Post a Comment