Sunday 17 October 2021

SEJARAH LIGOR SERANG KEDAH

 
Bermulanya Perang Kedah - Siam yang dicetuskan oleh serangan pengecut angkatan Ligor diketuai Phya Buri Sakhmuton pada 12 November 1821, adalah melalui tipu helah.

Angkatan Ligor datang ke Kota Kuala Kedah tatkala sedang berlangsung majlis perkahwinan anak Datuk Bendahara dengan anak Datuk Laksamana. Mereka berpura-pura minta beras.

Apabila Datuk Bendahara menyatakan persetujuan untuk membekalkan beras kepada mereka, ketika itulah mereka menyerang dalam keadaan orang Melayu Kedah tidak bersedia.

Meriam Katak Puru, Badak Berendam, Harung Darah yang ada di sekeliling kota, kesemuanya telah dituang timah menyebabkan orang Kedah tidak mampu hendak melawan.

Begitupun, selepas dua kali kebangkitan dalam keadaan serba kekurangan, kali pertama pada 1831 oleh angkatan Tunku Kudin setelah Siam yang berpakat dengan kongsi gelap Hai San mengebom rumahnya di Kota Prai pada jam 3 pagi, dan kedua oleh angkatan Tunku Muhammad Saad pada 1838, Siam mulanya terpaksa beralah.

Angkatan Tunku Muhammad Saad berjaya mara hingga ke Singgora (Songkhla hari ini). Di sana, Tunku Muhammad Saad melaungkan kata-kata: "Kali ini, kita akan mengamuk sampai ke Bangkok."

Bagaimanapun disebabkan angin monsun, angkatan Tunku Muhammad Saad tidak dapat untuk mara terus.

Kesempatan itulah diambil oleh British yang belot untuk menghantar bekalan senjata kepada Siam. Siam melakukan serangan balas menyebabkan angkatan Tunku Muhammad Saad terpasa berundur.

Sepanjang tempoh perang, angkatan Kedah bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan Siam tetapi juga British yang belot.

Kapal-kapal British bawah pimpinan Kapten Warren mengawal pantai menyebabkan angkatan pahlawan Kedah yang berlindung di pulau-pulau Songsong, Bunting, Bidan dan Payar dan Setol, tidak dapat membantu saudara mara di daratan yang teruk dibantai oleh tentera Siam.

Bagaimanapun di sebalik apa yang berlaku, yang jarang diketengahkan ialah tempoh pentadbiran Tunku Muhammad Saad selepas Siam berjaya dihalau keluar antara Jun hingga Disember 1838.

Dalam tempoh enam bulan sahaja, keadaan dalam negeri Kedah berjaya dipulihkan dan kembali makmur selepas 17 tahun diluluhlantakkan oleh Siam.

Kalaulah tidak kerana campur tangan British, memang Siam tidak akan mampu atau berani untuk kembali ke Kedah.

Dalam keadaan Kedah begitu aman, British yang ada kepentingan dengan Siam disebabkan oleh Perjanjian Burney (1826), menghasut Siam untuk serang semula Kedah pada penghujung tahun.

Sikap British amat biadab. Mereka melakukan sekatan di laut dengan kapal Hyacinth bagi memudahkan Siam menyerang Kedah melalui darat.

Hal kecekapan pentadbiran Tunku Muhammad Saad di bawah pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin, diakui oleh sejarawan British sendiri sebagai 'wisdom, prudence and integrity'. (Quedah and Tuanku Mahomed Saad, Asiatic Jpurnal and Monthly Register For Foreign INdia, China and Australasia, page 109-116, Vol XXXV, May - August, 1841).

Gambar: Bukit Kayu Hitam 

No comments:

Post a Comment