Di Kelantan sering diadakan pertandingan
suara burung candik atau burung merbah jambul. Pertandingan biasanya diadakan
pada hari Jumaat dan hari cuti. Kemerduan suara burung candik amat mengasyikkan
dan unik yang menyebabkan banyak orang terjebak dengan hobi memelihara burung
candik.
Merbah jambul spesies burung tempatan semakin pupus. Kebanyakan burung merbah jambul yang
diperlihara peminatnya diimport dari Thailand, Burma, Vietnam dan Kemboja.
Dinamakan merbah jambul kerana pada bahagian kepalanya ada bulu berbentuk
jambul menegak.
Harga seekor burung candik dibeli dari
Thailand biasanya berharga sekitar RM50. Namun, harganya boleh mencecah ribuan
ringgit apabila memenangi pertandingan, harganya meningkat sehingga RM1,000
seekor. Bahkan, burung candik yang kerap kali menang pertandingan, harganya
boleh mencecah sehingga RM10,000 seekor.
Burung candik yang ingin masuk pertandingan
perlu diasuh sebelum menyertai sebarang pertandingan. Asuhan itu melibatkan
aspek kesihatan dan pemakanan. Asuhan juga melibatkan persekitaran atau
mendedahkan kepada keadaan yang hampir sama dengan suasana di gelanggang
pertandingan. .
Di Kota Bharu ada pusat asuhan burung
candik bertempat di Bazar Tengku Anis, behampiran dengan Dataran Muhammadi. Tempat
tersebut di hadapan dua kedai menjual makanan burung, peralatan sangkar dan
keperluan lain berkaitan burung candik.
Seawal pukul 7.30 pagi sudah ada pemilik
burung candik yang akan meletakkan sangkar di tempat gantung yang dikhaskan.
Kebanyakan yang meletakkan burung adalah di kalangan mereka yang bekerja di
Kota Bharu. Sebelum ke tempat kerja, mereka akan meletakkan burung di pusat
asuhan tersebut dan akan mengambilnya apabila habis bekerja.
Pusat asuhan itu tidak mengenakan sebarang
bayaran. Pun begitu, sebagai sokongan dan tanda terima kasih, pemilik burung
akan membeli keperluan burung di kedai berkenaan yang secara langsung memberi
pendapatan kepada pemilik pusat asuhan tersebut.
Sepanjang burung candik ditinggalkan di
pusat asuhan tersebut, pengendalinya akan memandikan, membersihkan sangkar,
menjemur dan memberi makan kepada burung itu.
Setiap hari tidak kurang daripada 30 ekor
burung candik akan ditempatkan di pusat asuhan tersebut yang dibuka pada hari
Sabtu hingga Rabu.
Terdapat dua kategori burung itu yang
diasuh di tempat tersebut. Kategori pertama, burung 'main' yang sudah biasa
menyertai pertandingan dan sedia untuk beradu. Kategori kedua ialah burung
reban yang masih baru dan perlu diasuh sebelum menyertai pertandingan.
Sehari sebelum menyertai pertandingan,
burung candik perlu “rehat”. Kebiasaan hari pertandingan ialah hari Jumaat.
Jadi, pada hari Khamis burung candik tidak akan dihantar ke pusat asuhan.
Burung candik yang diletakkan di tempat
terbuka dan sentiasa ada kenderaan dan orang ramai lalu di tempat itu memberi
latihan dengan keadaan persekitaran di tempat pertandingan. Ini penting untuk
membiasakan burung agar tidak takut dengan kehadiran orang ramai.
Pertandingan burung candik melibatkan
penilaian empat kriteria iaitu galak, gaya, air suara dan hujung suara.
No comments:
Post a Comment