Islam adalah cara hidup yang sempurna.
Syariat Islam memberi panduan hidup yang sesuai dengan keperluan tabie manusia.
Hal ini termasuklah berkaitan dengan bentuk hubungan lelaki dan perempuan.
Sesungguhnya, Islam telah menetapkan cara
terbaik baik bagi lelaki dan perempuan memenuhi keperluan hidup mengikut
keinginan dan keperluan sebenar, yang membawa kebaikan dan mengelak perkara buruk
terutamanya terhadap perempuan.
Secara tabie, lelaki dan perempuan saling
memerlukan bagi melengkapkan kehidupan sosial dan seks. Malah Allah mencipta
alam ini secara berpasang-pasang, saling melengkap antara satu sama lain.
Firman Allah bermaksud: “Maha Suci Allah
yang telah mencipta pasangan-pasangan semuanya baik dari apa-apa yang
ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka mahupun dari apa yang mereka belum
ketahui.” (Surah Yasin, ayat 36).
Sememangnya Allah menjadikan manusia
berpasangan dengan rahmat-Nya. Namun hubungan itu perlu dilangsungkan mengikut
peraturan dan hubungan yang dibenarkan. Manusia perlu sedar bahawa kehidupan di
dunia sebagai hamba-Nya perlu mematuhi apa yang diperintahkan.
Sesungguhnya, Allah mencipta manusia
bertujuan untuk menyembah dan beribadat kepda-Nya. Sebagai imbalan, setiap apa
yang dilakukan akan diberi pembalasan di akhirat nanti. Justeru, apa-apa yang
ditetapkan oleh Allah tidak boleh diingkari, termasuklah dalam bentuk hubungan
lelaki dan perempuan.
Islam menetapkan perkahwinan merupakan
hubungan yang halal bagi lelaki dan perempuan memenuhi keperluan hidup
berpasangan. Perasaan kasih sayang, kegembiraan dan rasa tanggungjawab adalah
pengikat kepada hubungan itu.
Firman Allah bermaksud: “Dan antara tanda
kebesaran Allah ialah Dia telah menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenis
kamu, agar kamu cenderung dan tenteram kepadanya dan dijadikan antara kamu rasa
kasih sayang.” (Surah ar-Rum, ayat 21).
Pasangan yang memilih memenuhi tuntutan
lahiriah dan batiniah dalam hubungan lelaki dan perempuan tanpa ikatan
perkahwinan, melakukan kesalahan yang bertentangan dengan normal kehidupan
manusia.
Sebenarnya, istilah ikatan perkahwinan
bukan sahaja wujud dalam agama Islam, bahkan dalam semua ajaran agama lain. Hal
ini jelas membezakan antara manusia dengan haiwan berkaitan hubungan berlainan
jantina.
Hubungan seks melibatkan pasangan yang
tiada ikatan perkahwinan dinamakan zina. Perbuatan zina diharamkan kerana
termasuk perbuatan keji melanggar ketetapan agama.
Firman Allah bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, kerana sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk.” (Surah al-Israk, ayat 32).
Al-Qurtubi ketika membuat tafsiran mengenai
ayat ini menyebut: “Para ulama berpendapat, kalimah “Dan janganlah kamu
mendekati zina” adalah lebih bermakna berbanding “Janganlah kamu berzina”,
kerana maksudnya ialah “Jangan sekali-kali hampiri zina”.
Ini bermakna ditegah melakukan sebarang
perbuatan yang boleh membawa kepada zina, seperti berdua-duaan lelaki dan
perempuan, bersentuh-sentuhan, pandangan berahi, pergaulan bebas dan
mengeluarkan kata-kata yang membangkitkan berahi. Perbuatan menonton
bahan-bahan lucah juga termasuk dalam mendekati zina.
Firman Allah bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, kerana sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk.” (Surah al-Israk, ayat 32).
No comments:
Post a Comment