Sunday 24 April 2016

Serondeng Kelantan sedap

Serondeng cukup terkenal di Kelantan. Serondeng merupakan sejenis masakan daripada siatan daging, ayam, ikan dan sebagainya yang dimasak bersama santan dan rempah-rempah.

Serondeng dimasak dan dikacau tanpa henti hingga betul-betul garing atau kering kerana agar ia akan tahan lama disimpan. 

Serondeng atau dalam dialek Kelantan dipanggil sambal yang dimasak kering boleh disimpan lama hingga satu tahun.

Selain dimakan bersama nasi sebagai perisa, serondeng juga dijadikan inti untuk beberapa jenis kuih, terutamanya ketupat bucu atau ketupat palas. Selain itu ia juga dicampurkan ke dalam bubur, oak dan makanan dalam bentuk cair atau lembik. 

Di Kelantan, antara lokasi penghasilan serondeng terkenal ialah di Kampung Kubur Maras, Kota Bharu dan Kampung Laut Tumpat. 

Selain itu terdapat juga pengusaha serondeng di Machang dan Pasir Mas yang tidak kurang juga terkenal menghasilkan serondeng terbaik.

Setiap pengusaha serondeng memang ada resipi masing-masing. Namun, tidak banyak beza antara satu sama lain. 

Selain, menggunakan ramuan berbeza, satu lagi ciri perbezaan serondeng ialah sama ada ia dalam keadaan garing, kering atau lembab. 

Serondeng garing adalah kering sepenuhnya. Teksturnya seakan-akan hancur. Boleh disimpan lebih lama.

Serondeng kering tidaklah kering sepenuhnya. Masih ada kelembapan dan teksturnya agak lembut. Boleh disimpan melebihi setahun. 

Manakala serondeng lembab dalam keadaan berminyak. Teksturnya agak lembut. Boleh simpan sehingga 10 bulan. 

Ketiga-tiga jenis ada peminat mengikut cita rasa masing-masing. Sesuai untuk dimakan dengan nasi, dijadikan inti kuih mahupun dicampur dalam makanan jenis bubur.


No comments:

Post a Comment