Monday 6 February 2023

RIADAH ERATKAN HUBUNGAN KELUARGA

 
Kempen meningkatkan kesedaran rakyat melakukan riadah sebagai aktiviti harian perlu ditingkatkan. Berdasarkan statistik dikeluarkan Kementerian Kesihatan, didapati hanya 25 peratus rakyat negara ini yang terbabit dalam aktiviti riadah.

Akibatnya, rakyat kita terdedah kepada pelbagai penyakit yang membunuh secara senyap. Kajian mendapati, 6.2 juta penduduk dewasa kita mempunyai kolesterol tinggi, 5.8 juta menghidap darah tinggi dan 2.6 juta menghidap diabetes.

Keadaan ini jauh berbeza dengan rakyat di negara maju yang melakukan aktiviti sukan dan riadah sebagai satu cara hidup. Didapati lebih 50 peratus rakyat di negara maju melibatkan diri dalam aktiviti sukan untuk tujuan kesihatan dan riadah. 
 
Oleh sebab itu, penyediaan tempat riadah dan bersukan dianggap sebahagian daripada keperluan asas di negara maju. 

Aktiviti beriadah sesuai dilakukan bersama keluarga seperti berjalan di taman atau sekitar tempat tinggal, berkelah, berkhemah dan mendaki bukit. Aktiviti tersebut bukan saja untuk tujaun kesihatan, tetapi jua dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan. 

Melaluinya dapat menerapkan nilai-nilai murni di kalangan anggota keluarga seperti semangat tolong-menolong dan kerjasama, serta menambah keseronokan sesebuah keluarga ketika beriadah.  

Dengan melakukan aktiviti riadah, kita juga dapat memenuhi masa lapang. Masa lapang harusnya dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah. 
 
Seseorang individu tidak akan terjebak dalam gejala sosial yang kurang sihat seperti melepak, merokok, pergaulan bebas dan menagih dadah jika selalu melakukan riadah bersama keluarga.

Aktiviti riadah adalah pilihan yang tepat kepada pelajar untuk merehatkan otak setelah belajar. Sesungguhnya, otak yang cerdas lahir daripada badan yang sihat. Pekerja juga dapat merehatkan minda setelah seharian bekerja di pejabat.

Satu lagi kebaikan menyertai aktiviti riadah ialah dapat menambahkan kenalan yang yang turut sama beriadah. Peluang berinteraski dalam masyarakat penting, tambah-tambah lagi kehidupan masyarakat sekarang yang sentiasa sibuk dengan tugas seharian.

Hubungan baik di kalangan anggota masyarakat amat penting terutama sekali hubungan antara kaum yang sering berdepan dengan konflik disebabkan hubungan yang tidak mesra. Dengan wujudnya perpaduan kaum yang erat, negara akan aman dan rakyat dapat hidup dengan baik.

Berdasarkan kepada kebaikan riadah sama ada untuk kesihatan, fizikal dan sosial, maka itu amat perlu setiap rakyat menjadikan riadah sebagai amalan harian atau satu budaya dalam masyarakat.

No comments:

Post a Comment