Friday, 23 July 2021

SEBAB HARGA SISIK TENGGILING MAHAL

Tenggiling adalah haiwan bertulang belakang jenis mamalian berdarah panas, melahirkan anak, menjaga anak, dan mempunyai bulu di badan.

Jantung tenggiling terdiri daripada 4 kamar seperti manusia. Kamar atas dikenali sebagai atrium, sementara kamar bawah dikenali sebagai ventrikel.

Apabila merasakan bahaya, tenggiling akan menggulungkan tubuhnya sebagai suatu pertahanan dengan menggunakan sisiknya yang keras.

Sejak tahun 2012, pada setiap hari Sabtu ketiga bulan Februari National Geography telah mengisytiharkan sebagai sambutan Hari Tenggiling Sedunia.

Seperti hari-hari sempena habitat atau haiwan liar lain, sambutan Hari Tenggiling Sedunia ini adalah bertujuan untuk kempen kesedaran awam bagi pemuliharaan haiwan liar berkenaan.

Dalam usaha kempen kesedaran ini kombinasi seni, literasi, sains dan sosial didedahkan kepada masyarakat umum agar maklumat pemuliharaan tenggiling ini sampai kepada masyarakat seluruh dunia.

Tenggiling seperti hidupan lain semakin terancam. Habitat mereka dirosakkan oleh proses pembangunan dan kerakusan manusia mengeksplotasi sumber alam.

Tenggiling menjadi buruan peniaga tenggiling yang merentasi sempadan antara bangsa. Permintaan tinggi terhadap tenggiling sebagai makanan eskotik dan perubatan tradisional menyebabkan populasi tenggiling berkurang dengan cepat di Asia dan Afrika.

Walaupun kajian saintifik tidak menunjukkan ada nilai perubatan namun permintaan sisik tenggiling masih tinggi.

Tenggiling ini adalah antara haiwan yang banyak ditangkap dan diseludup dengan aktifnya kerana manusia suka memakan daging dan menggunakan sisiknya.

Permintaan tinggi terhadap daging haiwan eksotik terutama oleh pembeli di China, Vietnam dan Laos menyebabkan tenggiling semakin kerap diseludup ke negara berkenaan.

Mereka yang melakukan kesalahan boleh dihadapkan ke mahkamah mengikut seksyen-seksyen berkaitan dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Sisik tenggiling mendapat permintaan tinggi kerana banyak digunakan dalam perubatan tradisional Cina dan harga sisik haiwan itu boleh mencecah sehingga RM12,800 untuk satu kilogram.

Sisik tenggiling dikategorikan sebagai larangan import mengikut Jadual Ketiga, Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686) kecuali dengan kelulusan permit.

Mengimport sisik tenggiling adalah dilarang mengikut Butiran 1, Bahagian III Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 kecuali dengan adanya kelulusan permit import dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Pengimport dan ejen Kastam yang terbabit dalam cubaan seludup sisik tenggiling ini sedang disiasat dan kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Bermula 2020, China mengeluarkan sisik tenggiling daripada daftar ramuan yang diluluskan untuk digunakan dalam perubatan tradisional Cina.

Ia dianggap sebagai satu langkah terdesak bagi melindungi haiwan itu yang merupakan antara haiwan paling kerap diseludup.

Tahun 2019 sahaja, pihak berkuasa China merampas lebih daripada 130 tan produk yang menggunakan tenggiling sebagai ramuan. Angka itu dianggarkan mewakili kira-kira 400,000 haiwan itu, menurut laporan WildAid.

Sisik tenggiling hanya mengandungi keratin, bahan yang sama pada kuku manusia, namun pakar perubatan tradisional Cina percaya keratin pada sisik tenggiling lebih mujarab untuk memperbaiki peredaran darah dan mengurangkan keradangan.

Tindakan China ini akan memberi impak yang besar. Ini adalah langkah yang sangat penting dan perlu diambil jika kita mahu memulihara haiwan ini.

Sebilangan besar permintaan untuk tenggiling adalah bagi kegunaan perubatan tradisional Cina. Itulah yang mendorong perdagangan haram skala besar.

Menurut Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam, populasi tenggiling di China telah menurun lebih dari 90 peratus sejak tahun 1960.

No comments:

Post a Comment