Wednesday 5 October 2022

ISLAM PENCETUS TAMADUN KEHIDUPAN MANUSIA

 
Banyak perkara yang diasaskan atau kembangkan dalam tamadun Islam, terutama ketika di Cardova dan Baghdad telah diambil oleh tamadun Barat, termasuklah dalam Konvensyen Geneva yang terkenal kini dalam menguruskan krisis antarabangsa. Hakikatnya mereka mengambil daripada tamadun Islam yang menegaskan agar berperikemanusiaan dalam menghadapi sebarang krisis.

King Charles III yang baru sahaja dilantik menjadi raja Britain, pernah menegaskan sepatutnya dunia Barat berterima kasih kepada Islam yang memberikan sumbangan kepada tamadun Barat.

Banyak hasil karya ilmuwan Islam yang dicuri dan disimpan di England, Belanda, Perancis dan lain-lain telah mempengaruhi tamadun Barat yang tidak bertamadun sebelumnya. Termasuklah terhadap sistem politik dan kehakiman, bukan sahaja dari segi sains dan teknologi.

Tamadun Islam ialah tamadun pertama yang memperkenalkan konsep bank simpanan dan perniagaan, penggunaan cek, pembinaan hospital, rumah tumpangan (hotel), sistem bekalan air bersih dan sebagainya. Perkara ini termasuklah juga peranan rakyat dalam politik sebelum munculnya demokrasi Barat, apabila Islam terlebih dahulu memperkenalkan konsep pemisahan kuasa kehakiman dengan kuasa politik serta pentadbiran dan lain-lain.

Pesatnya tamadun Barat kini sehinggakan melampaui batas telah meruntuhkan kehidupan manusia dan alam sekitar kerana mereka mengambil tamadun Islam secara tidak beramanah dan tidak sempurna. Hal ini disebabkan mereka tidak beriman dan tidak berakhlak, setelah dipisahkan agama daripada kehidupannya, walau pada asalnya elemen tersebut terkandung dalam tamadun Islam.

Akan tetapi, Barat yang mencurinya telah membuang peranan agama dan akhlak, sehingga berpisah juga daripada urusan sains dan teknologi. Sehinggakan, ia turut merosakkan diri manusia dan alam sekitarnya, khususnya cuaca dunia yang disaksikan kini.

Al-Quran telah memberikan suatu peringatan tentang kerosakan yang dilakukan oleh manusia melalui firman Allah SWT yang bermaksud: “Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Surah al-Rum, ayat 41)

Khalifah Umar bin al-Khattab pernah berucap kepada bangsa Arab pada zamannya: “Kita ialah kaum yang diberikan kemuliaan dan keperkasaan oleh Allah dengan Islam. Sekiranya kita mencari kemuliaan selain Islam (dengan meninggalkan Islam), nescaya kita akan dihina oleh Allah.” (Al-Hakim, al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain, jilid. 1, halaman 61)

Apa yang diucapkan oleh Khalifah Umar itu mentafsirkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jika kamu berpaling (menegakkan Islam), nescaya Dia akan menggantikan (kalian) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan (menyerupai) seperti kamu ini.” (Surah Muhammad, ayat 38)

Kehebatan bangsa Arab itu dapat dilihat apabila mereka berpegang dan beramal dengan Islam yang sempurna, bukan terletak pada pedangnya. Begitu juga dengan orang Melayu yang pernah bertamadun, kehebatan mereka bukan terletak pada kerisnya, tetapi ketika mereka berpegang dan beramal dengan Islam.

No comments:

Post a Comment