Monday 2 January 2023

TINGKATKAN PRODUKTIVITI TANGANI KOS SARA HIDUP

Keutamaan segera perlu dilakukan kerajaan adalah untuk menangani kos sara hidup yang semakin meningkat. Selain kos sara hidup dan kejatuhan mata wang, isu subsidi rakyat perlu menjadi perhatian Kerajaan Perpaduan. Kos sara hidup dan taraf hidup adalah dua perkara saling berkait rapat. 

Kos sara hidup ialah kos terpaksa ditanggung isi rumah bukan hanya keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal, tetapi keperluan lain seperti kos perubatan, pengangkutan, bayaran pinjaman dan belanja harian serta bulanan.
 
Taraf hidup pula mengukur perbandingan antara pendapatan dengan kos sara hidup. Sekiranya pendapatan berada pada kadar lebih rendah berbanding kos sara hidup, maka taraf hidup seseorang dikatakan merosot, begitu juga sebaliknya.
 
Majoriti pendapatan diterima rakyat atau isi rumah digunakan untuk menampung pelbagai bayaran, termasuk ansuran perumahan, kenderaan, pendidikan dan pinjaman peribadi.
 
Situasi ini menyebabkan mereka tidak mempunyai lebihan wang untuk menabung atau dibelanjakan ke atas barangan lain.
 
Hal ini menyebabkan mereka berada dalam kesempitan hidup. Kesempitan hidup ini umpama orang 'memakai selimut pendek dalam kedinginan malam'. Selimut ini diumpamakan sebagai kos sara hidup.
 
Apabila menarik selimut ke bahagian atas maka bahagian bawah pula sejuk dan begitulah sebaliknya. Secara teorinya pula, semakin meningkat kos sara hidup semakin kurang kuasa beli atau belanja pengguna.
 
Sehubungan itu, timbul persoalan bagaimana untuk menurunkan kos sara hidup atau meningkatkan kuasa beli pengguna? Untuk meningkatkan kuasa beli rakyat bukanlah dengan menaikkan gaji atau memberi bantuan kewangan.
 
Hal yang demikian ini kerana apabila gaji kakitangan awam dinaikkan maka pekerja di pihak swasta juga akan menuntut kenaikan gaji. Apabila pekerja swasta dinaikkan gaji maka harga barang keluaran atau kos perkhidmatan terpaksa dinaikkan bagi menampung kos operasi.
 
Maka, secara tidak langsung peniaga akan menaikkan harga barang jualan mereka. Atas faktor ini, banyak negara menaikkan gaji, tetapi tidak dapat menyelesaikan masalah kuasa beli pengguna.
 
Rakyat perlu lebih memberi tumpuan meningkatkan produktiviti. Meningkatkan kepakaran, menggunakan teknologi dan kerja lebih masa adalah antara cara meningkatkan produktiviti. 

Masa amat penting, jadi gunakan sebaik mungkin untuk melakukan perkara berfaedah. Masa sekarang ada untuk bekerja dan mengubah taraf hidup. Bukan masa untuk menyalahkan pihak lain dan menebalkan perasaan dendam serta dengki.
 
Penggunaan media sosial itu amat penting, tetapi bukannya sepanjang masa bermedia sosial sehingga lupa tugasan seharian yang perlu dilakukan. Sekarang ini banyak orang terganggu daripada melakukan tugas seharian disebabkan lebih masa ditumpukan kepada media sosial.
 
Gunakan masa untuk meningkatkan produktiviti, hidup lebih bahagia dan terjamin.

No comments:

Post a Comment