Hari
Wanita telah disambut sejak pada tahun 1908 bersempena satu bantahan dan protes
dalam kalangan wanita di Amerika Utara yang menuntut hak untuk mengundi sewaktu
pilihan raya di negara tersebut. Bantahan tersebut telah diketuai oleh
sekumpulan wanita dari Parti Sosialis Amerika Syarikat dan kemudiannya ia
bertukar menjadi hari rasmi bagi golongan wanita.
Namun
demikian, tarikh asal sambutan tersebut diadakan adalah pada 28 Februari,
tetapi bermula pada tahun 1911, Hari Wanita mula di sambut pada 19 Mac di
Jerman, Austria, Denmark, Jerman dan Switzerland yang melibatkan himpunan
besar-besaran dalam kalangan wanita.
Sebagai
tambahan kepada hak untuk mengundi dan memegang jawatan awam, perhimpunan
tersebut juga menuntut hak wanita untuk bekerja, untuk menyertai latihan
vokasional dan untuk menamatkan diskriminasi dalam pekerjaan.
Pada
tahun 1913 dan 1914, Hari Wanita Antarabangsa juga menjadi mekanisme untuk
membantah Perang Dunia Pertama. Sebagai sebahagian daripada pergerakan
keamanan, wanita Rusia menyambut Hari Wanita Antarabangsa pertama mereka pada
bulan Februari. Tetapi di Eropah, sambutan diadakan pada atau sekitar 8 Mac
tahun berikutnya, wanita mengadakan perhimpunan sama ada untuk membantah
peperangan atau untuk menyatakan solidariti dengan aktivis lain.
Kemudian
pada tahun 1917, wanita di Rusia sekali lagi memilih untuk memprotes dan
mengadakan mogok untuk “Roti dan Damai” (Bread and Peace) pada bulan Februari
(yang jatuh pada 8 Mac pada kalendar Gregorian). Empat hari kemudian, Czar
menyerahkan diri dan kerajaan sementara memberi hak kepada wanita untuk
mengundi. Bermula pada tahun 1975, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mula
merayakan Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac yang berterusan sehingga pada
hari ini.
Pada
tahun 2019, tema sambutan yang dibawa oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu
ialah “Think equal, build smart, innovate for change” (Fikir kesaksamaan, bina
dengan kebijaksanaan, berinovasi untuk perubahan). Tema ini diangkat atas dasar
menumpukan kepada kesaksamaan gender dan pemerkasaan wanita dalam pelbagai
bidang termasuk sosial, ekonomi, politik dan kebudayaan.
Tambahan
daripada tema tersebut, kempen untuk Hari Wanita Antarabangsa pada tahun 2019
ini ialah #BalanceforBetter yang membawa mesej untuk menggalakkan kehidupan
yang seimbang untuk masa depan yang lebih baik. Ia merupakan sebuah mesej
positif agar wanita dapat menyeimbangkan peranan dan tanggungjawabnya dalam
pembangunan negara, masyarakat dan keluarga.
Keseimbangan
dan Wasatiyyah dalam Islam
Konsep
keseimbangan ataupun wasatiyyah adalah sebuah prinsip yang telah dibawa oleh
Islam seperti mana yang disebut secara komprehensif di dalam al-Quran dan Hadis
Nabi SAW.
Beberapa
ulama telah mentafsirkan bahawa wasatiyyah bukan sahaja berada di pertengahan,
tetapi ia menuntut kehidupan yang sederhana, seimbang, dan adil dalam pelbagai
aspek kehidupan. Ia penting bagi semua individu sama ada lelaki mahupun wanita
untuk menjauhkan diri daripada perbuatan ekstrem dan melampau yang boleh
menjatuhkan imej agama itu sendiri. Top of Form
Sebagai
wanita, konsep wasatiyyah ini perlu diamalkan secara praktikal dalam kehidupan
harian. Wanita digalakkan untuk mengamalkan keseimbangan dalam menunaikan hak
dan tanggungjawab, iaitu tidak berlebih-lebihan dengan sesuatu tugasan dengan
mengabaikan tanggungjawab yang lain.
Sebagai
contoh, Islam tidak melarang wanita untuk bekerja di luar rumah, tetapi dalam
masa yang sama, wanita juga perlu memastikan bahawa tanggungjawabnya sebagai
ibu dan isteri dilaksanakan dengan baik dan amanah.
Zaynab
al-Ghazali pernah berkata bahawa: “Islam tidak melarang wanita daripada aktif
dalam kehidupan awam. Ia tidak menghalang mereka daripada bekerja, masuk ke
dalam politik dan menyuarakan pendapat mereka, atau apa-apa sahaja, selagi itu
tidak mengganggu misi yang pertama iaitu tanggungjawab seorang ibu dan isteri.”
Walaupun tanggungjawab domestik adalah penting bagi wanita, wanita juga perlu
berpendidikan dan berpengetahuan bukan hanya dalam prinsip-prinsip Islam tetapi
juga menyeluruh kepada aspek-aspek yang lain, supaya mereka juga diberi ruang
dan peluang untuk menyumbang dalam membangunkan agama, negara, dan bangsa.
Islam
mengiktiraf Hak Wanita
Walaupun
terdapat beberapa usaha yang mengkaitkan sambutan Hari Wanita dengan agenda
Barat, perlu difahami bahawa Islam adalah sebuah agama yang mengiktiraf hak dan
peranan wanita. Beberapa contoh kisah wanita telah dinyatakan dengan jelas di
dalam al-Quran, malah sebuah surah telah dikhaskan buat wanita bagi membuktikan
keistimewaan seorang wanita.
Hak
wanita yang telah dinyatakan di dalam al-Quran termasuklah hak untuk mendapat
pendidikan, hak memilih pekerjaan, hak menyertai politik, hak memperolehi harta
pusaka, hak dalam undang-undang, dan hak-hak sivil yang sesuai dengan sifat
wanita.
Hadis-hadis
Nabi juga mengakui hak-hak yang dimiliki oleh kaum wanita, malah Nabi Muhammad
SAW secara peribadinya menghormati wanita dan mengiktiraf sumbangan besar yang
telah diberikan oleh wanita khasnya pada zaman baginda.
Walaupun
demikian, tuduhan bahawa Islam sebagai agama yang menindas wanita masih ada
disebabkan oleh sistem patriarki yang telah diserap menjadi sebuah budaya dan
amalan yang sukar untuk dihapuskan dalam kalangan umat Islam itu sendiri.
Oleh
itu, pada Hari Wanita yang disambut seluruh dunia ini, ayuh membuang persepsi
bahawa Islam menyekat hak kebebasan wanita, dan membangkitkan semula
prinsip-prinsip agama yang memandang tinggi terhadap kedudukan wanita. Ia
adalah tanggungjawab bersama untuk menghormati wanita dan peranannya dari aspek
teori dan juga praktikal dalam masyarakat yang penuh cabaran pada masa kini.
Wanita
adalah golongan istimewa yang diberikan hak, tanggungjawab dan perlindungan
yang istimewa di dalam Islam. Hak wanita perlu diperjuangkan secara sama-rata
dengan berlandaskan syariah Islam, bukannya berdasarkan kebebasan hawa nafsu
dan logik akal semata-mata.
Malah,
mesej keseimbangan yang dibawa perlu diterjemahkan dengan bahasa wahyu, bukan
bahasa nafsu. Kini, perbahasan utama terletak kepada perlaksanaan dan tindakan
yang perlu diambil bagi menjamin kesejahteraan dan kebahagian yang seimbang
duniawi dan ukhrawi.
Dr.
Nur Saadah Khair
Exco Kajian Islam & Hadis
International Women’s Alliance for Family and Quality Education
WAFIQ
Exco Kajian Islam & Hadis
International Women’s Alliance for Family and Quality Education
WAFIQ
No comments:
Post a Comment