Wednesday 31 July 2024

JAMBATAN PASIR KELANG DALAM PEMBINAAN

 
Projek membina Jambatan Kampung Pasir Era - Pasir Kelang bermula pada 19/8/2021 selama 36 bulan dan dijangka siap pada 18/8/2024. Bagimanapun, berdasarkan tinjauan pada 29 Julai 2024, kemajuan projek agak perlahan. Tidak pasti punca projek berjalan perlahan, biarpun diperhatikan sekarang kini ia sedang berjalan. 

Projek pembinaan jambatan ini amat penting bagi melengkapkan jajaran jalan dari Kampung Bahagia ke Kampung Pasir Kelang (dalam perancangan RMK-12) dan seterusnya merentangi Sungai Kelantan ke Kampung Pasir Era dan seterusnya memasuki jalan negeri D219 Jalan Bukit Sireh/ Kampung Bedal/ Kuala Nal.

Pembinaan jambatan ini adalah menggunakan kaedah "Box Girder Bridge'' dengan tiga rentang di mana panjang rentang pertama dan ketiga 80 meter dan rentang kedua 143 meter.

Apabila siap nanti, jambatan tersebut bakal memberi kemudahan kepada penduduk di enam buah kampung di dalam kawasan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) yang terletak di seberang tebing sebelah barat Sungai Kelantan di jajahan Kuala Krai.

Enam kampung berkenaan iaitu Kampung Pasir Kelang, Kampung Pasir Kelang Baru, Kampung Buyong Darul Hijrah, Kampung Sungai Taku, Kampung Taku Estet dan Kampung Bahagia.

Buat masa sekarang penduduk dari kampung-kampung berkenaan menggunakan khidmat feri dari Pengkala Feri Pasir Kelang ke seberang sungai selebar 250 meter menuju Pengkalan Feri Kampung Pasir Era.

Feri milik Koperasi Kampung Pasir Kelang Berhad itu mampu membawa sebanyak enam kereta, 20 motosikal dan penumpang pada satu-satu masa.

Pada hari biasa, feri ini beroperasi dari 7 pagi hingga 11 malam, namun pada musim perayaan, operasinya dilanjutkan sehingga lewat pagi bagi memastikan tidak ada penumpang yang terkandas atau menunggu di jeti terlalu lama.

Tambang yang dikenakan adalah RM1 bagi setiap individu, motosikal RM2 dan untuk kereta pula antara RM6 atau lebih bergantung kepada jenis kenderaan dan juga muatan barang yang dibawa bersama.

Jika tiada pengkhidmatan feri, penduduk yang menggunakan kenderaan terpaksa mengambil jalan jauh melalui Kampung Sokor, seterusnya ke Tanah Merah sebelum melalui jajahan Machang sebelum sampai ke bandar Kuala Krai yang memakan masa tiga hingga empat jam.


No comments:

Post a Comment