Sistem hirarki kesultanan Negeri Perak Darul Ridzuan amat
unik dan berbeza dengan negeri-negeri lain yang ada di Malaysia. Baginda yang
menjawat jawatan sebagai Sultan Perak akan melalui jawatan Raja yang disusun
dan akan dinaikkan setangga pangkat sehinggalah mendapat takhta utama sebagai
Sultan Perak Darul Ridzuan.
Ia amat unik yang mana tidak menggunakan sistem turun temurun dari Raja
pemerintah kepada puteranya. Sistem ini menjadi simbol kesentosaan dan
kesejahteraan negeri.
Susunan hirarki paling bawah bermula dengan jawatan Raja
Kecil Bongsu, diikuti Raja Kecil Tengah, Raja Kecil Sulung, Raja Kecil Besar,
Raja Di-Hilir, Raja Muda dan akhirnya Raja Pemerintah atau Raja Perak.
Untuk bahagian gelaran Raja Kecil, adalah menjadi kebiasaan
bagi seseorang Raja Pemerintah semasa dalam pemerintahannya untuk melantik
anakanda baginda dan mengisi tempat atau gelaran yang kosong yang terdapat
dalam sistem hirarki Kesultanan Perak seperti mana yang telah dinyatakan iaitu
gelaran Raja Kecil Bongsu hinggalah ke Raja Kecil Besar.
Apabila berlakunya kemangkatan di mana-mana jawatan, secara
tidak lansung akan dinaikkan setapak jawatan ke atas untuk mengisi kekosongan
jawatan yang ada. Oleh itu, berikutan dengan kemangkatan, penyandang-penyandang
gelaran-gelaran yang ada di bawahnya telah di naikkan ke atas.
Ia juga bergantung kepada beberapa syarat tertentu yang mana
akan dikekalkan kedudukannya jika faktor kesihatan yang tidak membolehkan
menjalankan tugas-tugas dan tanggungjawab yang lebih berat dari jawatan
atasnya.
Dewan Negara Negeri Perak memainkan peranan dalam hal
pemilihan dan mempunyai kuasa dalam pemilihan dan perlantikan Sultan serta
Raja-raja Bergelar. Dewan Negara Negeri Perak yang ditubuhkan di bawah
Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak dan Dewan Negara ini mempunyai
peranan penting dalam melaksanakan proses pemilihan dan perlantikan Sultan atau
Raja Pemerintah dan lain-lain gelaran dalam sistem hirarki.
Gambar Istana Iskandariah

No comments:
Post a Comment