Sunday, 8 February 2026

CEGAH ANAK BERMAIN MERCUN

 
Banyak kes kecelakaan mercun disebabkan orang dewasa tidak mengawai anak atau ahli keluarga masing-masing. Jangan kerana hendak bergembira, lain pula jadinya. Tragedi mercun merosakkan kemeriahan Aidilfitri. 
 
Alangkah menyesalnya atas apa yang berlaku. Namun, yang terlanjur terjadi tidak boleh diundur lagi. Nasi sudah jadi bubur. Nasib badan tidak fikir panjang.
 
Biarlah kita tidak menunaikan kehendak anak atau saudara mara, asalkan kita tidak terjebak dengan perbuatan yang membahayakan. Memberi anak bermain mercun samalah memberi mereka sebutir bom. 
 
Ikutlah ajaran Islam yang melarang kita melakukan perkara bahaya dan membazir. Puasa melatih kita sikap takwa. Bersih diri daripada perbuatan ditegah. 

Ibadat puasa menjadikan fitrah, suci bersih. Tetapi, jika masih melakukan amalan ditegah, bermakna ibadat puasa belum sempurna atau tidak mampu jadi perisai atau penghalang melakukan keburukan. 
 
Mercun tidak akan sampai ke tangan pembeli jika tidak ada penjual. Kalau bermain mercun diharamkan agama, maka menjual juga dikira haram. Mendapat hasil keuntungan menjual mercun adalah hasil haram.
 
Keuntungan berlipat ganda menyebabkan banyak orang memilih menjual mercun. Mereka tidak fikirkan tentang bahaya mercun. Apa yang difikirkan ialah keuntungan berlipat ganda.
 
Penjualan mercun masih berleluasan disebabkan ada permintaan daripada orang ramai, khususnya kanak-kanak. Ibu bapa sepatutnya mengawasi anak masing-masing agar tidak terlibat bermain mercun.
 
Kanak-kanak tidak mengerti tentang kecelekaan. Apa yang mereka inginkan ialah kegembiraan dan mencuba pengalaman baru. Di sinilah peranan ibu bapa dan orang dewasa memperjelaskan kepada kanak-kanak tentang bahaya akibat perbuatan itu. 
 
Sikap ibu bapa dan orang dewasa yang turut bermain mercun amat memalukan.  Mereka yang lebih-lebih berbanding kanak-kanak. Perbuatan itu tentunya ditiru pula oleh kanak-kanak.    
 
Dalam situasi itu tidak mungkin kita dapat mengatakan kepada kanak-kanak bahawa bermain mercun berbahaya. Mereka sendiri melihat orang dewasa bermain mercun, jadi apa pula salahnya mereka turut bermain. 
 
Penyertaan semua pihak untuk membenteras penyeludupan, penjualan dan bermain mercun perlu dilakukan secara menyeluruh. Tugas ini bukan tanggungjawab pihak berkuasa sahaja, bahkan lebih penting di kalangan ibu bapa dan anggota masyarakat. 
 
Kemeriahan Ramadan dan Syawal sepatutnya disambut dengan meningkatkan ibadat dan melakukan perkara yang baik. 

Ironinya, banyak di kalangan masyarakat Islam yang melakukan perkara yang ditegah atau bertentangan dengan syariat Islam. Ajaran Islam tidak membenarkan penganutnya melakukan sesuatu yang mendatangkan bahaya dan merugikan.

No comments:

Post a Comment