Monday 27 June 2022

ELOK MAKAN KELEDEK UNTUK KESIHATAN

 
Ubi keledek atau nama saintifiknya Ipomoea batatas merupakan sejenis makanan berkanji yang berasal dari keluarga Convolvulaceae

Dalam dialek Kelantan, ubi keledek dipanggil ubi setelo, memang terkenal di negeri bergelar Cik Siti Wan Kembang Tanah Rendah Sekebun Bunga itu. 

Ubi keledek banyak varieti sama ada tempatan atau luar negara. Ia bukan sahaja berbeza pada warna kulit dan isi, bahkan rasanya. 

Antara varieti baharu ialah keledek lembayung. Varieti luar negara yang terkenal ialah ubi keledek jepun dari Jepun dan ubi keledek cilembu dari Indonesia. 

Ubi keledek adalah tumbuhan yang mudah didapati di kawasan tropika dan beriklim sederhana. Di Malaysia, ubi keledek bukanlah sesuatu yang asing lagi malah ianya dikenali oleh hampir semua lapisan masyarakat dan usia. 

Ubi keledek sering dijadikan bahan utama dalam pembuatan kuih-muih tradisional seperti kuih keria, cek mek molek, cucur badak dan lain-lain. 

Ubi keledek juga sedap dimakan yang direbus atau pun digoreng. Di Kelantan, keledek  yang dipotong kecil dan dicelup tepung, kemudian digoreng dipanggil kaki ayam. 

Selain sedap dimakan, ubi keledek juga mempunyai khasiatnya yang tersendiri. 

Penanaman keledek dilakukan melalui keratan batang atau menggunakan isi. Ia mudah ditanam dan membesar. Bagi mereka tidak mempunyai kawasan tanah, boleh ditanam di dalam pasu. Masa untuk mengeluarkan hasil adalah antara tiga hingga empat bulan mengikut jenisnya.

Penggunaan ubi keledek sebagai sumber makanan wajar ditingkatkan untuk menggantikan bahan makanan lain, terutama gandum yang perlu diimport dari luar negara.

Galakkan ahli keluarga anda makan ubi keledek.

Antara komponen berkhasiat terdapat dalam ubi keledek ialah: 

Beta karoten. Beta karoten adalah salah satu komponen yang mempunyai sifat anti oksida yang boleh ditemui di dalam sayur-sayuran ataupun buah-buahan yang mempunyai warna jingga atau merah. 

Apabila makanan yang mengandungi beta karoten dihadam oleh badan, beta karoten akan ditukar ke dalam bentuk vitamin A di dalam badan. 

Riboflavin. Riboflavin atau nama lainnya vitamin B2 adalah sejenis vitamin larut air. 

Antara fungsi komponen ini adalah terlibat di dalam penghadaman karbohidrat, protein dan lemak yang akhirnya akan membekalkan tenaga kepada tubuh badan kita. 

Ianya juga penting kepada kesihatan kulit, sistem penghadaman, sel darah dan organ-organ utama. 

Niasin. Niasin atau juga dikenali sebagai vitamin B3 merupakan salah satu vitamin yang terkandung di dalam ubi keledek. Komponen ini merupakan sejenis vitamin yang larut air di mana ianya boleh disingkirkan oleh badan. 

Antara fungsi niasin adalah membantu dalam penghasilan tenaga, dan bersifat antioksida.

No comments:

Post a Comment