Thursday, 24 October 2019

Tindakan asingkan saf kanak-kanak

Kerap berlaku imam atau petugas masjid yang marah kepada kanak-kanak berbuat bising di masjid. Bahkan, kanak-kanak itu 'diusir' daripada bersembahyang bersama-sama dengan orang dewasa. Mereka diasingkan di saf belakang atau hanya dibenarkan berada di bahagian belakang ruang solat.

Hal itu terjadi kerana kanak-kanak dilayan 'kejam' berdasarkan kepada pendapat yang mengatakan kanak-kanak yang belum baligh atau belum bersunat tidak dibenarkan berada di saf orang dewasa.

Antara hujah yang digunakan juga ialah kanak-kanak itu menaggung najis yang sekiranya bersolat bersama di dalam satu saf maka akan batallah solat orang dewasa yang bersentuhan dengannya.  

Hujah ini tidak dibina di atas dalil al-Quran dan sunnah. Bahkan Nabi SAW mendukung cucunya ketika solat.

Imam Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan: “Hadis menunjukkan bersihnya pakaian kanak-kanak, sekiranya dihukumkan najis sudah tentu Nabi tidak mendukungnya, begitu juga yang dinaskan (disebut) oleh Imam Syafie dan selainnya.” 

Kanak-kanak yang diasingkan di belakang boleh menyebabkan mereka bermain-main dan berbuat bising dan perkara ini tidak terjadi jika kanak-kanak di dalam barisan orang dewasa di bawah pengawasan penjaganya.

Membawa kanak-kanak ke masjid dan diajar sembahyang bersama-sama dalam satu saf adalah cara mendidik mereka. Bukan dengan mengasingkan mereka. 

Ibu bapa yang membawa anak ke masjid dalam rangka mendidik adalah terbaik namun dinasihatkan juga supaya mengawal anak-anak agar tidak menganggu jemaah yang sedang bersolat dan beribadah.

Syaikh Ibnu Utsaimin di dalam Fatawa Islamiyah 2/8 ada melarang ibu bapa dari membawa anak-anak jika menganggu jemaah yang sedang menunaikan kewajipan bersolat. Sebaik-baiknya bawalah anak-anak yang berusia tujuh tahun ke masjid sebagaimana sabda Nabi SAW bermaksud: “Perintahlah anak-anak kamu bersolat pada usia 7 tahun. Pukullah mereka jika mereka meninggalkan solat pada usia 10 tahun dan pisahkanlah tempat tidur mereka.” (Hadis Riwayat Ahmad, 11/369, no. 6756. Dinilai hasan oleh an-Nawawi, al-Albani, dan Syu’aib al-Arnauth)

Tiada larangan mutlak membawa anak di bawah umur 7 tahun cuma perlu dipastikan mereka dijaga dan tidak menganggu jemaah melakukan ibadah.

Cara terbaik untuk mendisplin dan mendidik kanak-kanak bersembahyang adalah berada bersama-sama bapanya atau orang dewasa.

No comments:

Post a Comment