Sunday, 31 January 2021

TIGA BENTUK JIWA DALAM DIRI MANUSIA

Allah SWT mengangkat darjat manusia berbanding makhluk lain seperti disebut dalam firman-Nya: "Sesungguhnya kami menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya." (Surah At-Tin, ayat 4)

Manusia dikurniakan dengan tiga bentuk jiwa yang dapat menjadikan kehidupan di dunia bersifat dinamik tetapi pada masa sama, menghalanya kepada keadaan dan kesudahan yang baik.

Tiga bentuk jiwa rohani yang disebut ialah jiwa tumbuhan, kehaiwanan dan roh.

Jiwa tumbuhan bererti ia memerlukan makan, tumbuh dan hidup seperti sifat manusia. Sifat kedua, iaitu jiwa kehaiwanan yang bermakna ia mampu bergerak dan mempunyai keinginan seperti nafsu syahwat serta sifat takut.

Bahagian ketiga adalah jiwa roh. Bentuk jiwa ini penting diberikan perhatian khusus dalam mendidik jiwa manusia untuk kekal berakhlak dengan sifat terpuji dan menjadikannya istimewa berbanding makhluk lain.

Allah SWT memberikan hawa nafsu kepada manusia dalam tiga jiwa itu adalah supaya kehidupan manusia menjadi dinamik.

Nafsu seperti keinginan makan, seksual dan emosi akan membawa kepada cita-cita dan keinginan untuk mencapai matlamat hidupnya serta seharusnya mendorong agar berusaha bersungguh-sungguh dalam melakukan pekerjaan.

Namun nafsu perlu dikendalikan dan dikawal bukan dituruti sepenuhnya seperti binatang yang tidak mampu mengendalikan nafsu.

Ia perlu diguna dan dikawal bagi tujuan betul dan baik. Semua nafsu dalam diri secara fitrah ini jika dijaga dan ditadbir dengan sifat sabar, iltizam dan istiqamah, bakal melahirkan manusia berakhlak mulia.

Ulama sejak dahulu menyebut perkara yang membezakan keistimewaan manusia dengan makhluk lain adalah sifatnya yang berakal.

Manusia berakal akan mengenal diri dan sentiasa meletakkan sesuatu perkara di tempat betul dan adil. Mereka tidak akan mudah terpesong dan tidak akan terjerumus ke lembah ekstremisme dalam apa juga perkara.

Sebaliknya jika potensi itu tidak digunakan, mereka akan mendapat penghinaan dan status yang tidak bernilai di hadapan Allah SWT.

Antara akibat kelalaian manusia adalah mereka diumpamakan Allah SWT sebagai serupa dengan binatang atau makhluk lain yang lebih rendah.

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahanam) kebanyakan daripada jin dan manusia; mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan untuk memahami (ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakan untuk melihat (tanda kekuasaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakan untuk mendengar (ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai. (Surah Al-A'raaf, ayat 179)

No comments:

Post a Comment