Islam
menekankan aspek kesederhaaan agar dapat mengimbangi fitrah kejadian manusia
yang mudah keluh resah, tamak, tidak mudah puas, terdorong melakukan dosa dan
keinginan tidak terhad.
Suruhan
melakukan secara sederhana memberi banyak kebaikan berbanding sikap keterlaluan
yang mendatangkan kesan buruk di sebaliknya.
Diriwayatkan,
tiga orang pemuda menemui Rasulullah SAW menjelaskan niat mereka ingin
beribadat sepanjang masa mengabdikan diri kepada Allah SWT. Mereka tidak
ingin melakukan perkara lain kerana takut melalaikan diri daripada melakukan
ibadat.
Antara
perkara yang dinyatakan oleh ketiga-tiga pemuda itu bagi meningkatkan ibadatnya
ialah tidak mahu berkahwin kerana ingin menumpukan sepenuhnya kepada
ibadat. Mereka juga ingin berjaga sepanjang malam dengan mendirikan
sembahyang dan berpuasa setiap hari sepanjang tahun.
Mendengar
penjelasan ketiga-tiga pemuda itu, maka Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
“Demi Allah, akulah hamba paling bertakwa dan takut kepada Allah di antara kamu
kalian. Namun aku tetap berpuasa dan berbuka puasa, bersolat tahjud dan
tidur pada malam hari dan aku juga berkahwin serta mempunyai isteri. Sesiapa
yang tidak menyukai sunahku, maka bukanlah dia termasuk ke dalam golonganku.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Selain
itu juga, ada hadis yang melarang perbuatan menyukarkan dalam perkara agama
kerana sikap atau sifat akan membuatkan seseorang itu tewas dengan dirinya
sendiri.
Nabi
SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya agama itu mudah, janganlah seseorang
daripada kamu menyukarkan (menyulitkan urusan agama itu) melainkan kamu akan
tewas”. (Hadis riwayat Bukhari)
Rasulullah
SAW sendiri akan memilih perkara yang lebih mudah berbanding yang sukar.
Daripada
Aisyah berkata: “Apabila Rasulullah SAW disuruh memilih di antara dua perkara,
nescaya Baginda SAW akan memilih yang lebih mudah di antara keduanya selama
mana ia tidak berdosa. Adapun jika ia adalah berdosa, maka Baginda SAW
adalah orang yang paling utama meninggalkannya”. (Riwayat Muslim)
Semoga
Allah SWT mengurniakan kita sifat bersederhana dalam melaksanakan setiap
perkara dan juga dalam menjauhkan kita daripada sifat melampau dan
bermudah-mudah di dalam agama.
Kesimpulannya, sifat bersederhana dalam setiap perkara adalah amat dituntut. Ini kerana, sikap melampau atau terlalu memudahkan akan memberi kesan yang buruk kepada agama serta sesiapa sahaja yang bersifat dengannya.

No comments:
Post a Comment