Monday 20 June 2022

KEJADIAN MANUSIA TANPA EVOLUSI

 
Darwin mengasaskan teori evolusi (perubahan secara beransur-ansur) pada 1859 yang mencetuskan pemikiran bahawa manusia berasal daripada beruk. Mengikut kajian mendapati manusia yang terawal dipercayai wujud sejak 100,000 tahun lalu. 

Manusia purba hidup secara liar dan tinggal di dalam gua. Mereka sering bergaduh merebut makanan. Dengan kata lain, manusia purba hidup seperti haiwan iaitu siapa yang kuat dia akan menang dan terus hidup.

Manakala yang lemah akan menjadi mangsa kepada yang lebih gagah dan perkasa. Manusia purba hidup dengan ringkas sekali kerana pada masa itu belum lagi wujud suasana tamadun. Mereka makan makanan yang mentah dan meratah binatang secara hidup-hidup.

Pakaian manusia purba diperbuat daripada kulit kayu untuk melindungi tubuh daripada kesejukan dan serangan serangga berbisa. Apabila manusia semakin pandai dan mengumpul pengalaman hidup, maka cara hidup pun berubah kepada keadaan lebih baik.

Perubahan ini berlaku mengambil masa yang lama dan berlaku secara evolusi.

Pakar sejarah membahagikan tahap zaman kehidupan manusia kepada beberapa zaman yang dikenali zaman batu, besi, gangsa dan sebagainya.

Bentuk badan manusia yang terawal dipercayai berada dalam keadaan yang bengkok atau melengkung dan berjalan seperti monyet. Manakala badan pula dipenuhi dengan bulu yang lebat dan kelihatan seakan-akan orang utan. Bentuk tengkorak tidak jauh beza dengan tengkorak monyet.

Sesungguhnya Allah mencipta manusia untuk dijadikan khalifah di muka bumi. Ciptaan itu disempurnakan tanpa melalui proses yang panjang. Terciptanya Adam dengan keadaan sempurna sepertimana manusia hari ini, tanpa proses evolusi yang dianuti oleh golongan yang tidak mempercayai kekuasaan Allah. 

Ketika Adam mula dicipta, keupayaan akalnya telah sempurna. Seluruh generasi manusia telah tersedia akal yang sempurna seperti manusia sekarang. Apa membezakan manusia dahulu ialah dari segi ilmu dan tamadun.

Sebagai persediaan untuk Adam menjadi khalifah di muka bumi, terlebih dahulu Allah mengajar Adam (ketika masih di syurga) mengenai perkara apa yang ada di bumi. Ilmu ini tidak diajarkan kepada iblis dan malaikat.

Firman Allah yang bermaksud: “Telah mengajar Nabi Adam nama-nama benda seluruhnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 31).

No comments:

Post a Comment