Thursday 4 August 2022

MAKAN SURO DALAM TEMPURUNG

 
Bubur asyura atau dalam dialek Kelantan dipanggil suro atau sura dimasak pada 10 Muharam atau hari-hari lain pada bulan Muharam. Tradisi membuat suro memang meriah pada masa dahulu. Bahan-bahan membuat suro disumbangkan oleh penduduk. Ia dimasak secara gotong royong untuk diagih-agihkan pada penduduk.

Suasana ketika mengacau suro memang meriah. Suasananya seakan sama ketika kenduri kahwin. Masing-masing sibuk dengan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Proses memasak suro awal pagi. Ada yang sudah dimulakan sesudah sembahyang Subuh. Bermula dengan menghidupkan api menggunakan kayu, memanaskan air dan masukkan beras. Pada peringkat awal, proses mengacau tidak perlu dilakukan lagi. Jadi, ketika itu masih belum banyak orang diperlukan untuk membantu.

Biasanya penduduk kampung akan mula datang beramai-ramai sekitar pukul 10 pagi. Proses mengacau ketika itu sudah bermula. Beras mula kembang. Bahan-bahan lain pun sudah dimasukkan bersama dalam kawah. Jadi, perlulah dikacau untuk ia panas sekata dan mengelak bahagian bawah menjadi hangit atau berkerak.

Pengacau diperbuat daripada batang buluh atau batang kayu yang panjangnya sehingga tiga meter dengan bahagian bawah diletakkan ‘mata’ diperbuat kepingan besi yang berukuran kira-kira 5 sentimeter lebar dan 6 hingga 8 sentimeter panjang. Mata itu penting bagi memastikan semasa proses mengacau nanti dapat mengelak terbentuk lapisan kerak di dasar kawah nanti.

Pada peringkat awal biasanya hanya diperlukan seorang pengacau sahaja kerana ramuan belum likat atau pekat. Air sentiasa ditambah bagi memastikan bahan-bahan betul-betul hancur. Pada peringkat awal santan dan awas atau rempah belum dimasukkan lagi ke dalam kawah.

Proses awal adalah untuk menghancurkan sepenuhnya bahan-bahan asas seperti beras, keledek ubi, badak, daging, jagung, kacang hijau dan bahan-bahan lain lembut dan hancur sepenuhnya.

Air ditambah beberapa kali sehinggalah bahan-bahan itu hancur sepenuhnya. Sebab itu proses membuat suro mengambil masa yang lama, sekitar 6 hingga 8 jam.

Kemudian baharu bahan-bahan lain seperti gula, santan, rempah dan bahan-bahan yang telah hancur atau berbentuk cecair dimasukkan ke dalam kawah.

Apabila adunan semakin likat atau kandungan air semakin kurang, proses mengacau perlu dlakukan secara lebih pantas dan memerlukan dua orang mengacau serentak bagi memastikan suro tidak hangit dan masak sekata.

Ketika itu suro sebenarnya telah masak. Sudah boleh diangkat untuk dimakan. Sebab itu, sudah ada yang mencedok sebagai sebahagian proses ‘merasa’ atau ‘mengecap’.

Masa inilah juga kanak-kanak sudah mudah menhurung kawasan tepi kawah. Siap dengan bekas masing-masing. Paling banyak mereka membawa tempurung kelapa sebagai ganti pinggang. Tempurung kelapa yang dibelah dua akan dikikis di bahagain dalam untuk membuang sisi isi kelapa yang masih melekat agar bersih dan sekata.

Ia dibersihkan dan diletakkan daun pisang sebagai alas sebelum dimasukkan suro panas. Kalau tidak diletakkan daun pisang pun boleh kerana tempurung itu telah bersih. Tetapi, daun pisang biasanya digunakan bagi mendapat aroma daun pisang.

Pada masa dulu pemilihan tempurung digunakan bukan kerana tiada pinggan, tetapi lebih bersifat kreatif terutama di kalangan kanak-kanak untuk menadah suro baharu masak yang masih panas. Mereka mengambil belahan tempurung yang mana isi kelapa digunakan untuk santan memasak sura.

Tempurung tidak panas biarpun dimasukkan suro panas yang baharu diangkat. Budak-budak gembira apabila mendapat setempurung suro untuk setiap orang.

Untuk makan suro yang masih panas dan lembik, mereka tidak menggunakan sudu besi, sebaliknya menggunakan daun atau pelepah nanas sebagai sudu. Memang kreatif dan mesra alam. Itu satu kenangan menarik golongan dahulu setiap kali tiba musim suro.

Selain tempurung, satu lagi bekas yang digunakan untuk menadah suro ialah batang pisang yang dipotong dan dileraikan atau dikopek menjadi seperti perahu. Suro diletakkan di tengah-tengah dan tidak akan mengalir tumpah disebabkan sura biasanya pekat likat yang tidak mengalir.

Itulah tradisi masyarakat dulu yang keatif menggunakan apa saja unsur alam yang ada di sekeliling. Penggunaan unsur alam digunakan sepenuhnya dan tentunya menjimatkan. 

Suro yang telah ‘masak’ ditentukan apabila ia telah likat dan pekat seperti sudah tiada lagi kandungan air. Ia biasanya diletakkan di dalam neka atau boko yang dialaskan dengan daun pisang untuk mengelak ia melekat. Ketebalan suro yang diletakkan di dalam neka lebih kurang 5 centimeter.

Memandangkan suro telah likat, jadi ia mudah mengeras apabila sejuk. Suro itu kemudian akan dipotong mengikut ukuran tertentu. Biasanya sekitar 10 x 10 centimeter setiap satu. Ia kemudian akan diagih-agihkan kepada penduduk kampung, terutama yang tidak sempat hadir di majlis tersebut.

Sumber gambar: Internet

No comments:

Post a Comment