Monday 21 November 2022

POLITIK SEPATUTNYA KUATKAN KEDUDUKAN ISLAM

 
Kuasa politik itu amat penting selagi ia diuruskan mengikut kehendak dan peraturan ditetapkan Islam. Al-Quran dan sunah telah menunjukkan cara berpolitik yang betul. Bahkan, Rasulullah SAW telah mempraktikan politik yang betul untuk diikuti umat Islam dan seluruh manusia.
 
Kita lihat betapa pentingnya kuasa politik. Ketika Rasulullah SAW menyebarkan Islam di kota Makkah, berapa kerat sahaja yang beriman dan bersama-sama baginda. Sedangkan ketika itu baginda telah terkenal dengan sikap al-amin.
 
Gelaran al-amin diberikan kepada Rasulullah SAW kerana sifatnya yang amanah serta boleh dipercayai. Namun, mengapa seruan dakwah baginda di Makkah tidak mendapat sambutan? Bukan sahaja tidak mendapat sambutan, bahkan ditentang.
 
Selama 13 tahun berdakwah menyeru kepada agama tauhid mengesakan Allah tidak berjaya biarpun Rasulullah SAW amat dihormati. Di mana terhalangnya kekuatan baginda masa itu untuk menyatukan umat Mekah?
 
Baginda akhirnya berhijrah ke kota Madinah. Baginda juga membina kekuatan dengan al Quran dan pertambahan besar para sahabat. Ia sama. Tetapi selepas 8 tahun, baginda pulang membuka kota Mekah dan berjaya menyatukan umatnya dengan penuh gilang gemilang.
 
Di mana atau apakah rahsia kekuatan baharu baginda sehingga berjaya menyatukan?

Ya, kekuatan al Quran, kekuatan para sahabat dan bersama kekuatan baharu yang ditambah, iaitu kekuatan politik kerajaan Madinah.
 
Kemudian, gejala murtad yang berlaku di Yaman selepas kewafatan baginda telah memecahkan kekuatan politik Islam, lalu hampir segera akan memecahkan umat Islam.
 
Adakah Abu Bakar mengembalikan semula kesatuan umat masa itu dengan menggerakkan kekuatan ilmu dan dakwah di sana?
 
Beliau telah menggunakan kekuatan politik untuk menyatukan semula. Politik Madinah melancarkan jihad bagi menghancurkan kudis awal perpecahan yang perlu dirawat segera.
 
Nyata, ilmu (al Quran) dan orang-orang berilmu (para sahabat dan selepasnya) akan melahirkan kesatuan umat. Kesatuan itu masih kekal kecil dan lemah sehinggalah ia bergabung dengan kekuatan politik (Madinah). Dengan tiga kekuatan tersebut, lahirlah kesatuan umat dan kegemilangannya.
 
Lihatlah pula sejarah peradaban Islam selepasnya. Ia melalui denai dan lurah yang sama. Ia sunah Islam dan sunah daripada sirah dilalui rasul-Nya jua.
 
Tiada kemenangan dan pembukaan kecuali apabila politik Islam dikukuhkan. Dengannya, umat berpayung dalam kesatuan terbaik yang menguatkan dan memenangkan.
 
Justeru, mengapa politik Islam sering dipandang serong dengan perpecahan? Itulah senjata musuh yang mahukan umat Islam, terutama anak mudanya putus asa atau membenci politik dan orang-orang politik.
 
Dengannya, mereka akan mempromosikan politik palsu dan angan-angan kumpulan sekular liberal sebagai penawar mujarab untuk politik negara.

No comments:

Post a Comment