Tuesday 10 January 2023

PERJALANAN DARAT KE KAMPUNG BAHAGIA

 
Kampung Bahagia adalah sebuah kampung kecil yang terletak di Mukim Mambong, yang menjadi sebahagian 216 kampung dalam jajahan Kuala Krai. 

Kampung Bahagia adalah salah satu daripada enam buah kampung yang dalam jajahan Kuala Krai yang terletak di seberang Sungai Kelantan (tidak termasuk dalam daerah Dabong).

Kedudukan di seberang Sungai Kelantan menyebabkan untuk ke Kampung Bahagia memerlukan penggunaan bot atau pengangkutan air. 

Pun begitu, jika ingin menggunakan pengangkutan darat, pengguna perlu menaiki kenderaan pacuan 4 roda dari Tanah Merah melalui jalan balak yang mengambil masa kira-kira tiga hingga empat jam, berbanding hanya 45 minit menggunakan bot dari pangkalan bot Tangga Krai (dahulu dikenali Tangga Bradley).

Satu lagi pilihan ialah dengan menyeberang Sungai Kelantan menggunakan feri di Pasir Kelang sebelum melalui jalan ladang menuju ke Kampung Bahagia yang mengambil masa kira-kira satu jam setengah hingga dua jam.

Sekarang ini, ada satu lagi pilihan untuk menyeberangi Sungai Kelantan menggunakan feri untuk ke Kampung Bahagia. Masa perjalanan darat dari pengkalan feri di sebelah seberang Sungai Kelantan menuju ke Kampung Bahagia hanya kira-kira setengah jam sehingga satu jam sahaja.

Pengkalan feri itu beroperasi berdekatan dengan Tangga Krai. Caj yang dikenakan adalah berdasarkan jenis kenderaan.

Kampung Bahagia dahulunya dikenali Kampung Berhala Lama. Dinamakan Kampung Berhala Lama kerana ada satu batu besar yang didakwa akan mengeluarkan bunyi seperti lembu pada setiap malam Jumaat.

Nama Kampung Berhala Lama ditukarkan kepada nama Kampung Bahagia untuk mengelak maksud buruk dan pemilihan nama ‘bahagia’ diharapkan memberi kemakmuran, kesejahteraan dan kesenangan kepada penduduknya.

Biarpun Kampung Bahagia agak terpencil dan sukar dikunjungi, namun penduduk kampung berkenaan mendapat kemudahan dan diberi perhatian sewajarnya. 

Selain mendapat kemudahan disediakan kerajaan, terdapat NGO dan pihak swasta menjadikan Kampung Bahagia sebagai kampung angkat atau dilaksanakan program yang mendatangkan manfaat kepada penduduknya. 

No comments:

Post a Comment