Cadangan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh
Koo Ham agar pakar bukan Islam turut dilantik dalam Jawatankuasa Mengkaji
Bidang Kuasa Mahkamah Syariah sebagai 'tidak berpijak di bumi nyata.' Ia hanya
akan mencetuskan polemik tidak perlu dalam suasana harmoni rakyat pelbagai
agama dan kaum selama ini.
Mahkamah Syariah dikhususkan kepada rakyat
beragama Islam, manakala proses menambah baik dan menaik tarafnya sentiasa
dilaksanakan secara bertahap dan mengambil kira ruang lingkup kuasa dibenarkan
Perlembagaan Persekutuan.
Jadi, mengapa pula sekarang ini ia perlu
melibatkan pakar bukan Islam untuk mengkaji bidang kuasa Mahkamah Syariah yang
hanya dikhusus untuk orang Islam. Orang Islam di Malaysia lebih arif akan
keperluan dan hal ehwa orang Islam sendiri.
Proses menaik taraf Mahkamah Syariah
meliputi aspek pentadbiran, kompetensi, emolumen dan penggajian hakim serta
pegawai, serta bentuk dan tahap hukuman diperuntukkan bawah kuasa mahkamah itu,
ia tidak pernah sekali-kali mengambil mahupun mencabuli hak warga bukan Islam.
Ini juga sejajar peruntukan Perkara 3
Perlembagaan Persekutuan dan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan Majlis
Raja-Raja Melayu sebagai pemelihara serta pelindung kepada kesucian agama Islam
sebagai Agama Persekutuan, pada masa sama mengiktiraf kebebasan agama-agama
lain untuk diamalkan di negara ini.
Justeru, berikanlah kepercayaan dan
keyakinan kepada Majlis Raja-Raja Melayu dalam menentukan panel yang bakal
menganggotai jawatankuasa itu kelak. Tentunya DYMM Tuanku Raja-Raja Melayu amat
bijaksana dan pasti mengambil kira segala aspek, termasuk bidang kuasa
diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dalam mengabsahkan terma-terma
rujukan jawatankuasa itu.
Cukuplah penglibatan Ahli Parlimen bukan
Islam dalam menentukan atau menetapkan bidang kuasa Mahkamah Syariah ketika ia
dibentangkan di Parlimen. Ketika dibentangkan di Parlimen, semua Ahli Parlimen,
termasuk bukan Islam berpeluang untuk membahas, menyokong, meminda atau menolak
cadangan yang terkait penggubalan undang-undang mahupun Perlembagaan.
No comments:
Post a Comment