Monday, 4 November 2024

NAJIB LEBIH BERJAYA MELAKSANAKAN REFORMASI

 
Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tampil dengan kritikan pedas terhadap kerajaan campuran yang diterajui Pakatan Harapan (PH), menyifatkan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja gagal melaksanakan slogan "reformasi" yang dilaungkannya, tetapi beberapa siri tindakan bertentangan hak asasi yang dilakukannya menjadikan ia lebih teruk daripada pimpinan terdahulu.

Latheefa Koya, yang dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada kemuncak pendakwaan kes-kes berkait skandal 1MDB, turut memberikan markah "negatif 10" kepada kerajaan kerana gagal melaksanakan pembaharuan undang-undang.

"Jika selalunya gred atau skala diberi antara kosong hingga 10, namun, dalam konteks reformasi undang-undang negara di bawah kerajaan sekarang, bukan sahaja kerajaan tidak melakukan sebarang reformasi, namun situasinya lebih teruk," katanya dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia, edisi mingguan akhbar Utusan Malaysia.

Peguam yang mengetuai SPRM selama sembilan bulan itu turut memberi amaran badan pencegah rasuah itu semakin dilihat sebagai alat politik.

"Persepsinya adalah SPRM hanya diguna untuk menyiasat orang yang dikatakan tidak selari dengan kerajaan," kata Latheefa, yang meletak jawatan sejurus selepas kejatuhan kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad pada Februari 2020.

Menurut Latheefa, SPRM di bawah pimpinannya tidak dipolitikkan atau dijadikan alat mengaibkan musuh kerajaan.

"Sebab itu semasa saya berada di dalam SPRM, saya tidak membenarkan sesiapa yang dituduh atau direman dibawa mahkamah memakai baju lokap berwarna oren.

"Saya tidak peduli sama ada individu itu orang kenamaan atau tidak, jangan sehingga tahap memalukan mereka sebelum disiasat, dituduh atau disabit bersalah kerana mereka mempunyai maruah serta ahli keluarga yang mesti dijaga," tambah.

Latheefa turut memuji bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang menurutnya telah menunjukkan komitmen lebih serius melaksanakan reformasi berbanding Anwar yang sepanjang lebih dua dekad melaungkan slogan "reformasi".

"Semasa pentadbiran Najib pun, beliau tidak melaungkan reformasi, tetapi kita melihat dari segi apa yang beliau lakukan untuk negara seperti pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA). Saya tidak boleh bayangkan jika ISA masih ada hingga hari ini."

Bagaimanapun, Latheefa, yang ketika mengetuai SPRM menghadapkan berpuluh-puluh individu, entiti dan syarikat dengan pertuduhan jenayah melibatkan ratusan juta ringgit berkait 1MDB, berkata pandangannya itu tidak bermakna dia menyokong Najib.

"Kita tolak ke tepi soal korupsi Najib, kerana ini perkara berbeza," kata Latheefa, yang pernah membongkar rakaman audio perbualan telefon membabitkan Najib, isterinya Rosmah Mansor dan beberapa watak utama skandal 1MDB.

"Saya cuma menjadi objektif sebagai rakyat Malaysia. Kena adillah. Kita bercakap soal reformasi tetapi yang melakukan reformasi pula orang lain," kata Latheefa, bekas ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR yang pernah menjadi sebahagian daripada pasukan peguam bela Anwar.

Anwar berdepan kritikan yang semakin meningkat susulan kegagalan memenuhi janji melaksanakan pembaharuan politik dan ekonomi, di samping tindakannya memperkenalkan beberapa pindaan undang-undang dan perlembagaan yang disifatkan sebagai regresif.

Ini termasuk pindaan melibatkan hak kewarganegaraan yang diluluskan baru-baru ini, dan cadangan memperkenalkan sebuah akta memperincikan kuasa mufti Wilayah Persekutuan yang mencetuskan bantahan aktivis hak asasi manusia dan pemimpin Islam.

Sejak mengambil alih kuasa, kerajaan Anwar dilihat menyasarkan musuh politiknya menggunakan pelbagai undang-undang yang pernah ditentangnya, di samping dakwaan beliau mencampuri urusan SPRM.

Sepanjang sembilan tahun pemerintahannya, Najib memperkenalkan beberapa pembaharuan ekonomi dan politik, bermula dengan keputusannya memansuhkan ISA, undang-undang era penjajah yang digunakan selama beberapa dekad oleh kerajaan terdahulu untuk memenjarakan musuh politik tanpa bicara.

Kerajaan Najib turut menggubal Akta Perhimpunan Aman, di mana rakyat tidak perlu lagi memohon permit polis bagi menganjurkan demonstrasi aman.

Latheefa memberi contoh bagaimana pihak berkuasa sehingga kini masih gagal mendakwa seorang polis pengiring rombongan diraja yang dirakam menyerang seorang pemandu e-hailing yang kurang upaya, serta penggunaan Akta Hasutan yang semakin kerap, sebagai bukti Anwar memungkiri janji reformasi.

Beliau berkata, paling tidak kerajaan Najib telah meminda Akta Hasutan di mana sebarang kritikan ditujukan kepada kerajaan tidak lagi menjadi kesalahan jenayah.

"Sekarang bukan sahaja rakyat tidak boleh mengkritik atau menyindir kerajaan, malah terus 'diheret' ke balai polis dan sekarang kerajaan sudah melakukan satu undang-undang jenayah yang tidak wujud pun dalam konteks undang-undang iaitu kesalahan di bawah 3R (kaum, raja dan agama).

"Undang-undang mana yang menyebut perkara ini? Tiada langsung, tetapi kerajaan begitu mudah mengkategorikan kritikan seseorang yang menyentuh hal berkaitan 3R."

Latheefa turut menyelar kerajaan kerana aktif menggunakan Akta Komunikasi dan Multimedia terhadap lawan politik, menyifatkannya satu bentuk buruan terhadap sesiapa sahaja yang mengkritik kerajaan.

Katanya, pemimpin PH harus berhenti mempertahankan kegagalan melaksanakan pembaharuan dengan berselindung di sebalik alasan mereka kini sebahagian daripada "kerajaan perpaduan" yang disertai pelbagai parti lain.

"Cuba dahulu (laksanakan pembaharuan) dan biarlah parti politik beritahu sendiri jika mereka tidak sokong.

"Ini, belum apa-apa lagi sudah beri alasan tidak dapat laksana manifesto kerana bukan kerajaan tunggal. Ini alasan remeh dan tiada iltizam politik membawa perubahan yang mereka sendiri janji."

No comments:

Post a Comment