Pelajar
perlu membiasakan diri dengan sikap berjimat dan menabung. Sifat menabung bukan
sahaja sebagai simpanan masa depan, tetapi adalah satu pelaburan yang menguntungkan.
Tidak dinafikan, kebanyakan pelajar kurang jelas mengenai keperluan perancangan
kewangan dan pelaburan untuk masa hadapan. Fenomena ini berlaku disebabkan
kewangan mereka disediakan oleh ibu bapa dan tidak didedahkan cara mana
pengurusan kewangan.
Simpanan dalam institusi kewangan dan saham amanah memberi pulangan lumayan
yang meningkatkan jumlah simpanan. Peningkatan itu dapat mengatasi kesan
inflasi yang berlaku dalam ekonomi negara.
Keuntungan dari simpanan diumpamakan seperti keuntungan senyap yang diperoleh
sepanjang masa. Pihak lain yang bekerja bagi pihak kita dan memberi keuntungan
yang berpatutan.
Pelajar boleh memilih sama ada untuk menabung dengan institusi perbankan
konvensional yang mengamalkan kadar faedah tetap atau sistem perbankan Islam
yang berdasarkan kaedah perkongsian untung dan beberapa syarat lain mengikut
syariat Islam.
Pelajar juga boleh melabur wang di dalam saham amanah yang banyak terdapat di
negara kita. Sekarang sudah ada saham amanah yang diwujudkan khas untuk
remaja.
Kewujudan saham amanah tersebut menunjukkan galakan kerajaan agar setiap remaja turut melabur di dalam saham yang memberi pulangan lumayan dan menggalakkan amalan menabung.
Kebaikan melabur di dalam saham amanah ialah kadar risikonya lebih rendah
berbanding jika melabur di dalam pasaran terbuka, terutama ketika dalam keadaan
ekonomi yang tidak stabil.
Pelaburan dalam saham amanah dikendalikan oleh pakar pelaburan untuk memastikan
pelabur mendapat pulangan yang memuaskan. Sedangkan jika melabur di pasaran
saham terbuka, individu pelabur sendiri perlu menentukan sektor pelaburan.
Bagi pelajar dari keluarga kurang berkemampuan amat perlu mengamalkan sikap
berjimat cermat. Wang yang diperoleh daripada ibu bapa perlu dihargai
sebaik mungkin. Bukan mudah bagi keluarga miskin untuk menyediakan wang
perbelanjaan untuk anak-anak, biarpun jumlahnya kecil.
Kebiasannya pelajar dari keluarga miskin terpaksa berikhtiar sendiri melakukan
kerja yang dapat mendatangkan wang untuk menampung kewangan keluarga. Hargailah
setiap sen yang diperoleh dan berusahalah menabung biarpun dalam jumlah yang
sedikit.
Jumlah yang disimpan mungkin membantu menentukan untung nasib masa hadapan.
Wang terkumpul boleh digunakan untuk pelbagai keperluan seperti membiayai pengajian
di pusat pengajian tinggi, memulakan perniagaan dan sebagainya.
Biarpun kerajaan menyediakan dana untuk pelajar kurang mampu melanjutkan
pelajaran di peringkat tinggi, jumlahnya tidak mencukupi. Wang sendiri masih
diperlukan dalam jumlah yang banyak, terutama ketika mula mendaftar di pusat
pengajian tinggi.
Banyak pelajar cemerlang tidak melanjutkan pengajian ke institusi pengajian
tinggi disebabkan masalah kewangan. Masalah itu dapat diatasi jika mereka telah
lama menabung untuk tujuan itu.
Jadi, mulakan sikap menabung mulai sekarang. Anda akan dapat merasakan kebaikannya pada masa akan datang.
No comments:
Post a Comment