Friday, 22 January 2021

KETAMAKAN PUNCA TERPERANGKAP SKIM CEPAT KAYA

Skim cepat kaya lazimnya menawarkan kadar pulangan yang tinggi atau tidak realistik bagi jumlah pelaburan yang kecil dan pada masa yang sama menjanjikan pelaburan tersebut adalah mudah dan bebas daripada sebarang risiko.

Skim cepat kaya sudah mengambil tempat dalam kehidupan semenjak sekian lama. Walaupun telah banyak kali skim ini ditumpaskan dan didedahkan ‘perniagaan’ mereka, tetapi masih ada lagi yang beroperasi serta mencari mangsa baru.

Skim cepat kaya ditawarkan kononnya sebagai skim pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan. Akan mendapat untung berganda dalam tempoh masa singkat dan dijamin tidak rugi. Peluang menjadi kaya berstatus jutawan dengan cepat.

Skim cepat kaya memanipulasi ketamakan dan hawa nafsu manusia. Manusia yang terpedaya, akan terjerumus ke dalamnya berkali-kali.

Antara aktiviti skim cepat kaya ialah pengambilan deposit secara haram atau menjalankan urus niaga mata wang asing tanpa kebenaran Pengawal Pertukaran Wang Asing di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (AKPW).

Pelaburan skim cepat kaya adalah melibatkan syarikat atau institusi yang tidak dilesenkan atau diberikan kuasa oleh Bank Negara Malaysia untuk mengambil deposit atau membuat urus niaga mata wang asing.

Aktiviti sedemikian lazimnya menawarkan pulangan pelaburan yang menarik atau peluang pelaburan yang membabitkan kadar pulangan yang tidak realistik dan tanpa risiko atau berisiko rendah.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-69 yang bersidang pada 13-15 Jun 2005 di Johor Bahru telah membincangkan Hukum Skim Cepat Kaya dan Seumpamanya. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Hukum terhadap skim cepat kaya adalah haram kerana ia mengandungi unsur-unsur judi, riba, gharar dan tadlis dan umat Islam dilarang daripada terlibat dengan skim ini.

Antara ciri-ciri pelaburan cepat kaya antaranya ialah:
- Seseorang pelabur boleh melabur seberapa banyak wang yang dikehendaki dan pihak pengurus skim akan membayar balik keuntungan mengikut peratus yang ditetapkan.
- Semua pelaburan yang dibuat selalunya dicatatkan dalam buku senarai pelabur dan resit akuan terima wang juga tidak dikeluarkan. Urus niaga skim ini berdasarkan prinsip percaya mempercayai dan tiadasurat perjanjian khusus tentangnya.
- Semua pelaburan adalah dibuat dalam bentuk wang tunai.
- Pihak pengurus skim juga melantik wakil-wakil dan ajen-ajen di beberapa tempat bagi mendapatkan pelabur-pelabur baru. Setiap wakil atau ajen mendapat bayaran sagu hati mengikut kadar yang dipersetujui berasaskan jumlah pelaburan yang dipungut.
- Pihak pengurus skim tidak terikat untuk membayar balik wang pelabursekiranya pelaburan berkenaan mengalami kerugian.
- Skim ini akan terus beroperasi sekiranya pada setiap masa ada pelabur baru yang melabur. Jika tiada, pihak pengurus akan menghadapi masalah untuk membuat pembayaran keuntungan kepada pelabur yang sedia ada. Apabila hal ini terjadi (tiada lagi pelabur baru) maka pelabur yang sedia ada yang baru menyertai skim ini tidak akan mendapat pulangan dan akan kehilangan wang yang telah dilaburkan.
- Tiada bukti menunjukkan pihak pengurus skim ini melaburkan wang yang terkumpul ke dalam mana-mana institusi kewangan atau pelaburan saham dalam atau di luar negara.

Bagi mengelakkan diri daripada terjebak dengan skim cepat kaya terdapat beberapa perkara yang wajar diberikan perhatian antaranya:
- Berurusan hanya dengan institusi kewangan berlesendan peniaga mata wang asing yang di beri kuasa.
- Berhati-hatilah dengan pelaburan yang dibuat melalui internet.
- Semak terlebih dahulu dengan pihak berkuasa yang berkaitan.
- Jangan gopoh atau membiarkan diri dipaksa untuk melabur.
- Berwaspada dengan sebarang peluang pelaburan yang tidak bertulis.
- Jika suatu pelaburan telah dibuat, simpan kesemua dokumen yang berkaitan dengan pelaburan dan komunikasi dengan selamat.
- Jangan terpengaruh dengan sesuatu promosi atau skim yang menawarkan pulangan yang menguntungkan tetapi seakan terlalu mustahil untuk diterima akal.

No comments:

Post a Comment